BannerFans.com

Tuesday 15 November 2011

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH

Kurikulum Standard Sekolah Rendah adalah singkatan KSSR yang telah mula dilaksanakan di sekolah pada tahun 2011 menggantikan KBSR. Dasarnya ialah untuk membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni. Matlamat dasar ini untuk memastikan anak-anak Malaysia dipupuk dengan semangat cintakan negara, menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetesi serta dapat melahirkan modal insan seimbang yang boleh menangani cabaran pada masa akan datang.

Bermula tahun 2011, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan dan mengisi proses transformasi pendidikan oleh KPM bagi memastikan sistem pendidikan Malaysia setanding dengan piawaian antarabangsa. Kurikulum baru ini diharap berupaya mencorak dan membentuk generasi yang memenuhi tuntutan FPK bagi menjamin kejayaan negara menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020. Pentaksiran baru ini tidak lagi bergantung kepada peperiksaan semata-mata tetapi merangkumi pencapaian murid-murid secara total dan holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.

Kurikulum standard ini digubal berasaskan dua standard iaitu pertama : Standard Kandungan yang merujuk kepada pernyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kedua : Standard Pembelajaran yang merupakan satu penerapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Adalah diharapkan perlaksanaan KSSR ini dapat membaharui Kurikulum sedia ada bagi memastikan ianya seiring dengan keperluan pendidikan semasa bagi membangunkan modal insan bertaraf dunia.

Perlaksanaan KSSR dapat meningkatkan kualiti pendidikan agar lebih relevan dengan cabaran masa kini dan abad ke 21. Guru memainkan peranan yang penting bagi mengupayakan p&p yang berkesan dan kejayaan transformasi kurikulum memerlukan komitmen menyeluruh dari semua pihak.

Melalui KSSR, semua murid akan dapat dipastikan melepasi standard yang ditetapkan iaitu :
            
     1. Penetapan ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu diukur dengan jelas.
     2. Mengenalpasti strategi penambahbaikan.
     3. Mengatasi masalah murid tercicir dalam pembelajaran.
     4. Perlaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah.

Dengan melaksanakan dasar ini, sudah tentu akan melonjakkan modal insan bertaraf dunia.

No comments:

Post a Comment